Monday, December 8, 2008

Salam Aidil Adha 1429H

Pagi Aidil Adha, suasana di rumah begitu sunyi, selalunya suasana pagi-pagi raya sebegini pastinya akan riuh rendah khususnya dengan suara nyaring dari isteriku. Namun sejak semalam, hampir 7 kali aku berulang alik keluar sama ada urusan ke Hospital atau melayani keperluan anak-anak, semuanya itu menjadi rutin baru aku untuk tempoh beberapa hari ini, InsyaAllah. Awal pagi tadi Umingah telefon bertanya khabar Kak V dan mendoakan segera pulih. Cuma penempatannya di wad C3 tidak membolehkannya dilawati dan diziarahi.

Sejak semalam, telefon aku dan isteri tak putus-putus dihujani sms memberikan doa dan semangat buat puteri ke 5 kami yang keputusan darah terakhirnya malam tadi terus menurun ke paras angka 22. Sudah pastinya isteri ku merupakan orang yang paling risau dan gelisah dengan perkembangan ini. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana perasaan dan jiwanya menghadapi saat-saat sebegini. Teringat kembali antara maksud hadis Rasullullah saw, Ambillah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara, antaranya waktu sihat sebelum sakit, waktu lapang sebelum sibuk,..

Semalam selain dihubungi oleh rakan-rakan dari JIM khususnya di Daerah Taiping/LMS, aku juga turut menerima sms daripada rakan-rakan alumni USM, UM, ESQ LC dan pastinya juga staf dan warga kerja di PLFSP. Malah seorang sahabat dan jiran di kawasan perumahan di Kamunting bersama sejak beliau bujang di KP lagi, Cikgu Khairul telah menziarahi dengan membawa bekalan sup ketam sebagai memenuhi petua bahawa ianya baik bagi seorang pesakit demam denggi. Kekadang peristiwa sebegini banyak hikmah dan pengajarannya untuk di ambil bekalan...

Aidil Adha di sambut dengan pelbagai perasaan. Mengenangkan kesihatan puteri kelima kami yang masih tak menentu, juga terkenangkan rakan-rakan dan sahabat di kawasan Ulu Kelang yang bertungkus lumus dan bertugas untuk membantu ujian Allah di sana dan alhamdulillah apabila mendapat khabar melalui group komunikasi maya bahawa Akhi Zaid Kamarudin and Family selamat dan begitu juga beberapa sahabat lagi yang tinggal berdekatan situ. Abu Urwah??

Tahun ini aku menunaikan ibadah kurban di kawasan Tumpat, Kelantan. Semoga ibadah itu akan menjadi ibadah yang diterima di sisi Allah dan semua bahagiannya dapat diagihkan seadilnya kepada mereka yang memerlukan..dan pagi ini selepas Solat Aidil Adha di Kg Tersusun, aku dan anak-anak akan terus ke Hospital bagi mengunjungi Kak V dan Umi.

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA DAN MENYEMPURNAKAN IBADAH KORBAN DENGAN PENUH KEIKHLASAN. Sembelihlah Kecintaan Kepada Dunia dan Semuanya Hanya Kerana ALLAH...

Salam Keampunan dan Maaf Zahir Batin..

Sunday, December 7, 2008

AHAD - 7 DISEMBER 2008


Hari ini di rumah keluarga di Kamunting, agak tidak menentu, sejak awal jam 5 pagi telah bangun untuk mempersiapkan diri. Teringatkan isteri yang sedang menunggu anak kami di Pusat Perubatan Apollo yang disyakki mengidap demam denggi. Keputusan darah semalam menunjukkan angka 48 yang memberi induksi bahawa ianya jauh rendah dari kadar normal. Tengah malam semalam, isteriku menelefon lagi, katanya result jam 11 malam, bacaannya semakin menurun. Kemungkinan perlu dipindahkan ke Hospital Taiping..

Anak-anak semuanya berkumpul di Kamunting. Tahun ini Raya Aidil Adha, seperti biasa sejak rumah siap, kami meraikan di sini. Cuma dengan sedikit ujian yang Allah berikan pada tahun ini menjadikan suasana sambutannya tidak semeriah sebelumnya. Moga Allah memberikan kami yang terbaik buat keluarga ini. Semoga Nurul Firzanah, anakanda kelima aku dan isteriku yang baru berusia 11 tahun pada 1 Disember yang lalu kembali sihat, riang dan ceria untuk menggembirakan kami seisi keluarga dan terus istiqamah sebagai keluarga dakwah dan islah

Salam dan Selamat Melayari Blog Rasmi Abu 'Ammar

Blog ini adalah sebuah diari kehidupan penulis dalam melalui pelbagai watak; sama ada sebagai seorang anak, seorang ayah, seorang suami, seorang staf dan ketua di pejabat, seorang du'at, seorang sahabat, seorang abang, sebagai Pak Long, Ayah Chak, Sebagai Guru, Seorang Pelajar di alam remaja, Zaman Muda Belia dan Zaman Berusia , Seorang Jurulatih, Kaunselor, Pembimbing Rakan Sekerja dan bermacam-macam lagi. Hampir 43 tahun aku melalui kehidupan dengan pelbagai rencah kehidupan, pahit manis, pelbagai ujian dan cabaran yang ingin jadikan ianya sebuah perkongsian pengalaman untuk kita sama-sama berusaha mengislahkan diri untuk terus megharungi kehidupan sebagai seorang hamba Allah di muka bumi Nya ini. Semoga segalanya diikhlaskan kerana ALLAH.